Program I-FIT (INTAN Fitness & Interactive Team) merupakan inisiatif Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang diperkenalkan bagi memperkukuh budaya hidup sihat, semangat kesukanan serta esprit de corps dalam kalangan warga organisasi. Penganjuran sulung sukan I-FIT telah diadakan pada 10–12 Oktober 2014 di INTURA (INTAN Kampus Wilayah Utara) sebagai pemangkin kepada gaya hidup aktif dan semangat kerjasama berpasukan.
Momentum tersebut diteruskan pada kejohanan sukan I-FIT 2015 di IKWAS dan kejohanan sukan I-FIT 2016 di INTAN Sarawak, yang memperluas penyertaan warga INTAN dari pelbagai wilayah. Rentetan kejayaan tersebut, siri sukan I-FIT diteruskan pada tahun-tahun berikutnya di pelbagai kampus INTAN seluruh negara — kejohanan sukan I-FIT 2017 telah dilaksanakan di INTIM iaitu dari 17 sehingga 20 Ogos 2017, kejohanan sukan I-FIT 2018 pula telah berlangsung di INSABAH dari 17 sehingga 20 Ogos 2018 dan kejohanan sukan I-FIT 2019 telah diadakan di INTAN Bukit Kiara dari 15 sehingga 17 November 2019 — yang memperlihatkan penglibatan menyeluruh warga INTAN dari pelbagai zon dan cawangan. Selepas tempoh penangguhan akibat pandemik, program ini kembali dengan lebih segar melalui kejohanan sukan I-FIT 2023 di INTAN Bukit Kiara (27–29 Oktober 2023) dan diteruskan dengan kejohanan sukan I-FIT 2024 di INSABAH (24–27 Oktober 2024).
Tahun 2025 menyaksikan sukan I-FIT kembali ke INTURA (23–28 Oktober 2025) dengan skala lebih besar dan pendekatan lebih inovatif, menampilkan pelbagai kategori sukan, aktiviti kecergasan dan elemen digital yang menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan mental dan fizikal penjawat awam. Sepanjang sedekad penganjurannya, I-FIT kekal sebagai platform utama yang menyatukan warga INTAN melalui sukan, kecergasan dan semangat kekitaan, sekaligus mencerminkan komitmen INTAN terhadap pembangunan modal insan yang holistik, cergas dan berdaya saing.